top of page

Ajar Anak Nilai Duit



Saya teringat perbualan saya dengan anak sulung, Fatih, semasa kami lalu area mainan kanak-kanak di sebuah pasaraya. Lebih kurang begini bunyinya :


Fatih : Mama..mama.. abang nak beli kereta control ni boleh?

Mama : Abang dah janji kan datang sini tak nak beli mainan?

Fatih : Kalau abang dapat nombor 1 periksa akhir tahun nanti boleh tak mama belikan?

Mama : Tak boleh. Abang kumpul duit sendiri kalau nak beli jugak.

Fatih : Ok, abang kumpul dulu. Dah cukup nanti kita datang beli, boleh tak mama?

Mama : Berapa harganya? Abang dah tengok ke harganya?

Fatih : Dah. Harganya RM 30.

Mama : Ok, kalau macam tu kita datang kemudian bila duit abang dah cukup nanti ya.

Fatih : Ok, terima kasih ma. Sayang mama.


Sejurus tiba di rumah, tak lengah si abang ambil tabung dan mengira duit didalamnya. Cuma perlu kumpul lagi RM 10 untuk dia penuhi impiannya membeli mainan idaman hati. Bersemangat sungguh dia masukkan baki duit belanja sekolahnya setiap hari ke dalam tabung. Kalau sebelum ni, saya yang selalu kena ingatkan dia untuk masukkan duit baki ke dalam tabung. Tapi sekarang, dia dah pandai masukkan sendiri tanpa disuruh kerana dia tahu dia ada matlamat kenapa perlu menabung. Ini adalah salah satu tip saya mendidik anak mengurus kewangan dan mengajar cara berbelanja kepada anak-anak saya.


Bukan mudah sebenarnya kita sebagai ibu ayah untuk menolak permintaan anak jika mereka mahukan sesuatu. Namun jika kita terlalu memanjakan dengan memenuhi semua permintaan mereka sejak kecil, kelak mereka akan terus meminta-minta dari kita even dah berkahwin dan berumahtangga. Jadi sebagai ibubapa, ajari anak-anak anda cara mengurus kewangan dengan bijak dan beritahu erti dan nilai duit kepada mereka sejak dari kecil. Ibu ayah boleh mulakan seawal usia anak 3 tahun apabila dia dah kenal asas nombor 1 hingga 10. Pada peringkat tadika (4 ke 6 tahun) pula, apabila anak dah pandai mengira, boleh suruh mereka bayar di kaunter setiap kali membeli barang supaya mereka belajar cara bayar dan terima baki. Dengan cara ini, sedikit sebanyak anak anda kenal dan tahu nilai wang yang dibelanjakan itu.


Setelah anak memasuki alam persekolahan iaitu darjah 1, mereka akan berhadapan dengan situasi sebenar bagaimana untuk berbelanja dan mengurus wang. Dari sejak hari pertama sekolah, saya ajar anak menabung baki duit belanja sekolah mereka setiap hari. Beritahu mereka apa yang boleh atau tak boleh dibeli semasa di sekolah agar mereka tak membazir beli barang yang tak bermanfaat. Ibu ayah juga jangan lupa bukakan akaun bank untuk semua anak dan masukkan duit tabung ke dalam bank setiap kali tabung penuh. Anak sayalah paling teruja setiap kali tabungnya penuh dan paling semangat mengira sendiri berapa jumlah yang terkumpul. Selain menabung dan menyimpan, galakkan anak anda untuk sedekahkan sebahagian wang mereka kepada golongan yang memerlukan. Ini juga dapat menyemai nilai murni dalam diri anak.


Oleh kerana anak sulung baru berusia 7 tahun, saya belum ada pengalaman mendidik anak remaja bagaimana cara menguruskan kewangan. Namun begitu, setelah banyak membuat carian dan pembacaan, saya kongsikan tips ini sebagai rujukan anda. Baiklah, untuk anak-anak berusia lingkungan 11 ke 14 tahun, ajar mereka menyimpan dalam amaun yang lebih banyak dan tetapkan matlamat sendiri mengapa perlu menyimpan. Jikalau mereka ingin membeli sesuatu seperti barang peribadi, biar mereka usaha beli dengan duit sendiri. Ibu ayah jangan cepat termakan pujuk rayu anak ya. Biar mereka tahu bila nak beli sesuatu benda mesti ada duit, dan duit itu tak akan turun dari langit atau datang bergolek jika tak berusaha mendapatkannya.


Akhir sekali iaitu pada peringkat usia 15 ke 18 tahun, apabila anak telah matang dan celik ilmu kewangan, bawalah berbincang mengenai masa depan mereka. Misalnya, apa hala tuju mereka setelah tamat peperiksaan SPM. Jika mereka ingin menyambung pelajaran ke kolej atau universiti, sudah tentu memerlukan sejumlah besar wang untuk menampung perbelanjaan yuran pendaftaran. Jadi, semua ini perlu perancangan kewangan yang bijak oleh ibu ayah supaya tidak timbul masalah tak cukup duit bila anak nak melanjutkan pelajaran kelak. Sementara tunggu result SPM keluar, galakkan anak anda untuk berkerja dan mencari duit poket sendiri. Selain mengajar mereka hidup berdikari, ia juga dapat mendedahkan mereka dengan situasi pekerjaan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.


Apa-apa pun cara yang ibu ayah lakukan, saya pasti ianya semua demi kebaikan anak-anak. Jika tips ini tak relevan atau tak boleh digunapakai bagi anda, tak mengapa. Anda boleh cuba ikut cara anda sendiri. Saya hanya sekadar berkongsi tips dari pengalaman sendiri. Semoga anda dapat apa yang anda cari di dalam entri ini. Terima kasih kerana sudi singgah!


Nota : Saya ringkaskan dalam bentuk infografik di bawah. Sudi-sudilah menjenguk ya!




Comentários


bottom of page