Maksudnya: “Ya Allah, permudahkanlah jangan dipersulitkan dan Kau akhirkanlah dengan kebaikan.”
Baru-baru ini, encik suami telah dapat peluang berkerja di tempat baru dengan tawaran gaji yang bagus setelah menghadiri beberapa sesi temuduga oleh beberapa syarikat. Dia sangat teruja untuk berkhidmat di tempat baru. Saya sebagai isterinya, sentiasa berada di belakangnya untuk memberi sokongan dan nasihat ketika dia memerlukannya. Itulah peranan kita sebagai suami isteri, saling berkomunikasi dan berbincang, lebih-lebih lagi apabila ingin membuat sesuatu keputusan yang besar dalam keluarga.
Hal pertukaran kerja ini bukanlah perkara kecil. Ianya perlu diberitahu kepada pasangan agar tiada masalah berbangkit pada masa hadapan. Bagi saya, saya menyokong suami berpindah ke tempat baru supaya dia dapat meningkatkan lagi keyakinan diri dan di samping mencari pengalaman. Saya katakan padanya, usah risau tentang hal anak dan rumah tangga kerana inshaAllah Allah swt sentiasa permudahkan segala urusan dan melindungi kami.
Walaupun rutin harian keluarga akan berubah memandangkan waktu berkerjanya adalah shift hour, namun saya dan anak-anak memahami dan ianya akan ambil masa sedikit untuk kami menyesuaikan keadaan baru ini. Alhamdulillah, kami masih dapat berjumpa dan berborak setiap hari. Saya yakin, setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Peluang hanya datang sekali sahaja, jika kita tak rebut sekarang mungkin ianya akan terlepas dan takkan datang lagi.
Seperti kata pepatah dari negara Jepun, negara di mana saya menghabiskan masa selama 4 tahun menuntut di sana suatu ketika dulu. Pepatahnya berbunyi begini:
"Ichigo Ichie"
Maksudnya : Once-in-a-lifetime encounter. (Bertembung/bertemu hanya sekali dalam seumur hidup)
Sekiranya tak yakin dengan keputusan kita atau susah nak putuskan mana yang terbaik, buatlah solat istikharah minta petunjuk dariNya. Jangan pernah berhenti bergantung kepadaNya. Hanya DIA yang dapat menolong di saat kita buntu dan sulit menghadapi sesuatu. Kita hanya merancang, namun Allah swt jua adalah sebaik-baik perancang.
Doakan kami sekeluarga ya. Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan oleh Allah. Aamiin..