top of page

Senarai Persediaan dan Kos Perbelanjaan Sekolah Untuk Anak Darjah 1


Dalam beberapa hari lagi sesi persekolahan tahun 2018 akan bermula. Bagaimana persiapan ibu ayah semua? Dah prepare ke barang persekolahan anak-anak? Pening kepala sebab tak tau nak mula dari mana? Apa kata ibu ayah buat senarai dulu sebelum membeli (boleh lihat contoh senarai yang saya buat dibawah sekali). Mungkin ada pakaian, alat tulis, beg atau kasut sekolah yang masih boleh pakai lagi. Jadi, tak perlulah beli baru untuk semua barang setiap kali naik sekolah kan?

Lepas dah semak senarai apa yang perlu dibeli, barulah ibu ayah survey pula kedai-kedai yang tawarkan harga yang berpatutan di samping kualiti barang yang baik. Kalau boleh biar tahan lasak dan anak boleh pakai sampai hujung tahun. Alah membeli menang memakai. Tapi, membeli biarlah ikut budget yang telah anda tetapkan ya! Jika anda peruntukkan untuk seorang anak adalah sebanyak RM 300, kalau 4 orang anak yang bersekolah bersamaan lebih kurang RM1,200 yang perlu anda sediakan. Ini belum termasuk yuran sekolah agama + kebangsaan, yuran kelas iqra', kos buku tulis + buku aktiviti, kos transit dan tambang van sekolah lagi. Oleh itu, rancang dan berbelanjalah ikut keperluan dan kemampuan ekonomi keluarga masing-masing.

Ini contoh perbelanjaan untuk 1 orang anak saya (darjah 1 pada tahun 2017 dan aliran sekolah perdana) :-

1. PERBELANJAAN SEKOLAH KEBANGSAAN

Bayaran Tahunan

Yuran Minggu Orientasi : RM 45

Yuran PIBG : RM 69

Buku Tulis, lencana dll : RM 170

Jumlah : RM 284/tahun

Bayaran Bulanan

Tambang Van Sekolah : RM 70 (pergi dan balik)

Transit : -Tiada-

Jumlah : RM 70/bulan

2. PERBELANJAAN SEKOLAH AGAMA ( KAFA - UNDER JAIS )

Bayaran Tahunan

Yuran Pendaftaran : RM 170

Buku Tulis + Buku Aktiviti : RM 22

Lencana Sekolah : RM 5

Jumlah : RM 197/tahun

Bayaran Bulanan

Yuran Sekolah : RM 30

Yuran Kelas Iqra' : RM 20

Tambang Van Sekolah : RM 35 (balik sahaja)

Transit : -Tiada-

Jumlah : RM 85/bulan

Kesimpulannya, saya peruntukkan sekurangnya RM 500 untuk sekolah agama + kebangsaan untuk kos yuran dan buku tulis. Kos bulanan pula, saya membelanjakan sebanyak RM 155 bagi yuran dan tambang van sekolah.

3. PERBELANJAAN KELENGKAPAN SEKOLAH

Baju Sekolah KAFA

Baju Melayu - 2 pasang : RM 54

Kain Samping - 2 helai : RM 20

Songkok - 2 : RM 20

Subtotal = RM 94

Baju Sekolah Kebangsaan

Baju Kemeja Putih - 3 helai : RM 51

Seluar Biru - 3 helai : RM 45

Seluar Sukan PJ - 2 helai : RM 36

T-shirt Putih PJ - 2 helai : RM 14

Tali Pinggang - 1 : RM 5

Tali Leher ( beli @ sekolah) : RM 10

Subtotal = RM 161

Lain-lain

Kasut Sekolah - 3 pasang : RM 30

Stokin - 3 pek x3 : RM 23

Singlet - 3 helai : RM 13

Beg Sekolah - 2 buah : RM 100

Dompet - 1 buah : RM 10

Alat Tulis - beli borong: RM 20

Baju Hujan - 1 : RM 6

Sticker Nama Anak : RM 28

Botol Air : -

Bento Box : -

Jam Tangan : -

Subtotal = RM 230

Maka, lepas dah kira-kira balik jumlah yang dibelanjakan adalah sebanyak RM 485 untuk kelengkapan sekolah anak yang baru nak naik darjah 1. Tak sangka banyak jugak kan? Ini hanyalah sebagai rujukan saja, terpulang pada ibu ayah nak ikut pun boleh atau jika ada idea tempat/kedai yang lebih menjimatkan boleh kongsikan di sini.

Untuk baju sekolah dan baju sukan, saya beli di Pusat Pakaian Hari-hari. Di sini banyak pilihan saiz dan jenis kain. Kualiti pakaiannya amat baik sebab anak saya lelaki dan sangat aktif, tapi bajunya masih elok lagi sampai sekarang.

Kasut dan stokin, saya beli di MrDIY saja. Kualitinya ok dan berbaloi dengan harganya yang murah. RM 9.90 saja sepasang. Bukan tak nak beli kasut yang mahal, tapi sebab dia baru darjah 1 dan saya nak latih dia cuci dan kapur kasut sekolahnya sendiri.

Lain-lain barang seperti alat tulis dan beg sekolah saya beli di Mydin. Alat tulis kena standby buat stok sebab asyik-asyik hilang pensil, pemadam, dan pembaris masa di minggu awal persekolahan. Kat Mydin banyak pilihan dan harga juga murah. Saya hanya beli sekali saja dan masih ada lagi yang belum pakai. Boleh simpan untuk kegunaan tahun depan.

Sticker atau pelekat nama anak bolehlah ditempah awal atau kalau nak yang ada nama kelas, tunggu hingga dah dapat tahu anak masuk kelas apa. Saya tempah pelekat nama ni di laman FB dengan harga RM 28. Anda boleh pilih nak jenis, saiz dan corak macam mana. Sekarang ni semua order online je. Mudah dan praktikal untuk surirumah macam saya dan ibu yang sibuk berkerja.

Nota : Kalau anda ada anak yang masuk ke sekolah menengah atau universiti, lain pula perbelanjaannya. Yang saya kongsikan di sini hanya untuk ibu ayah yang anaknya sekolah rendah agama + sekolah kebangsaan.

Boleh muat turun senarai ini secara percuma di sini >>>

bottom of page